Asal Usul Kenyah

Asal usul Masyarakat Kenyah adalah di Dataran Tinggi Usun Apau sejak sekitar 1400 -1700 Masihi. Kaum Kenyah mula berpecah kepada sub-Kenyah kecil sekitar 1400-1600 Masihi iaitu bangsa Kenyah Jamok,Kenyah Badeng, Lepo' Tau, Lepo' Maut, Uma' Bakah, Lebu' Kulit, Kenyah Sambop, dan sebagainya. Di antara sub-kaum Kenyah yang ketara sekali berubah dari segi bahasanya ialah Kayan dan Penan. Namunpun begitu, terdapat sedikit persamaannya yang boleh difahami dan tidak jauh perbezaannya.

Semasa pemerintahan Raja Brooke, Masyarakat Kenyah telah berpecah kerana menentang penguasaan Rajah Brooke ke bahagian pedalaman Sarawak iaitu di Dataran Tinggi Usun Apau. Sebahagian Kenyah telah tinggal di kawasan hulu Baram dan berdamai dengan pemerintahan Rajah Brooke pada ketika itu. Sementara sebahagian lagi tidak mahu dijajah/diperintah oleh Rajah Brooke. Oleh itu, mereka telah diserang oleh Rajah Brooke di Tanah Tinggi Usun Apau. Penentangan mereka terhadap Rajah Brooke tidak mendapat sokongan kaum lain kerana Rajah Brooke menggunakan orang tempatan untuk menyerang Kaum Kenyah Usun Apau. Namunpun begitu, Kaum Kenyah dapat mempertahankan tanah air mereka dan dapat berdamai dengan wakil pemerintah Rajah Brooke di Marudi. Walaupun mereka telah berdamai dengan kerajaan pada masa itu, mereka telah diarahkan supaya berpindah lebih dekat dengan pusat bandar Marudi. Oleh kerana mereka tidak mahu diperintah oleh kerajaan pada masa itu, maka sebahagian daripada mereka berpakat untuk berpindah ke sempadan Sarawak-Kalimantan(Apo Kayan). Dari sempadan sekitar selepas konfrontasi Malaysia-Indonesia, mereka telah berpindah balik ke Malaysia iaitu di kawasan Belaga, Bintulu dan Baram. Kini, kaum Kenyah tinggal di sepanjang hulu Sungai Baram, Daerah Belaga, Bintulu dan Kalimantan. Kebudayaan masyarakat Kenyah adalah lebih kurang sama pada keseluruhannya. Penempatan mereka adalah di lembah sungai sepanjang hulu batang Baram, Usun Apau, Balui, kawasan Tinjar, dan ulu batang Rajang.

Pada lewat abad ke-20, bilangan kaum Kenyah dilaporkan terdiri daripada 23,000 orang. Mereka tinggal dekat kuala sungai dipangil Long dan mempunyai perhubungan yang rapat dengan kaum Kayan. Oleh itu, kaum Kenyah mempunyai budaya yang amat serupa dengan kaum Kayan, walaupun bahasa-bahasa mereka berbeza kerana mereka adalah bangsa Kenyah pada asalnya. Ekonomi tradisi Kenyah berdasarkan penanaman padi bukit di lereng/cerang hutan. Pokok-pokok hutan ditebang dan dibakar, dan padi ditanam antara abu-abunya.